Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/JBS Labuan
LABUAN, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Pasukan PEGASUS yang terdiri daripada pelajar Labuan International School dan PRISM IVY yang dibarisi gabungan kakitangan agensi kerajaan dan swasta dinobatkan sebagai juara Pertandingan Aerobic Dance Peringkat Labuan 2024 yang diadakan, di sini semalam.
Menurut Pegawai Kecergasan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan, Mohd Hilmie Unik, Kedua-dua pasukan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM800, medal serta sijil bagi Kategori Remaja dan RM 1,000, medal serta sijil bagi Kategori Dewasa.
“Sebanyak tujuh pasukan menyertai Pertandingan Aerobic Dance Peringkat Labuan 2024 yang terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori Remaja dan Kategori Dewasa.
“Objektif utama pelaksanaan program ini ialah bagi mempromosi sukan Aerobic Dance dalam kalangan rakyat Malaysia dan memberi pengetahuan tentang pengendalian pertandingan Aerobic Dance ini setaraf dengan penganjuran di peringkat antarabangsa,” katanya semasa ditemui media semalam.
Jelasnya, Penolong Pengarah (Bahagian Sukan) JBS Labuan, Felix Den Anthony Paru yang menyempurnakan majlis perasmian penutup pertandingan itu turut mengumumkan kedua-dua pasukan tersebut akan mewakili Labuan ke pertandingan sama di peringkat kebangsaan pada bulan November 2024.
Hadir sama Presiden Persatuan Sukan Kecergasan Malaysia (MAFA) Prof. Madya Dr. Mastura Johar dan Timbalan MAFA Dr. Mardian Shah Omar.
-ZS-