
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Universiti Selangor
RUNGKUP, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Usaha akan terus dilaksanakan untuk membangunkan Bagan Datuk bukan sahaja sebagai hub pendidikan bahkan kawasan pelancongan yang menarik di negeri Perak.
Demikian antara intipati ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika perasmian penutup program Jelajah Hari Terbuka Universiti Selangor (UNISEL) dan Kelapa Fest Bagan Datuk (KFBD) 2024 di Dataran Bagan Datuk, di sini kelmarin.

Hasil kraf tangan daripada buah kelapa berpotensi untuk menembusi peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, perkara tersebut akan menjadi kenyataan kerana daerah ini mempunyai banyak kawasan pelancongan untuk dilawati oleh pengunjung.
“Antara tarikan yang ada di Bagan Datuk termasuklah Ladang Matahari, Sky Mirror dan Blue Tears.
“Di Beting Beras Basah yang popular sebagai kawasan bersejarah misalnya, terdapat banyak hidupan alam yang boleh dilihat di sini seperti burung migrasi, burung helang dan kelip-kelip,” ujarnya.
Tambah Ahmad Zahid, kawasan ini bukan sahaja akan memberi impak kepada pembangunan daerah ini, malah membantu perkembangan ekonomi penduduk tempatan jika dimajukan.
“Usahawan tempatan juga akan mendapat manfaat daripada pembangunan tersebut kerana daerah ini sudah mempunyai banyak produk yang boleh dikomersialkan seperti buah kelapa.

Pintu masuk ke Beting Beras Basah yang merupakan antara kawasan pelancongan yang berpotensi untuk dibangunkan.
“Banyak produk berkualiti yang dapat dihasilkan seterusnya dikomersialkan ke peringkat antarabangsa termasuk produk minyak kelapa dara dan barangan kraf tangan,” ujarnya.
Semua ini akan terus diusahakan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kerajaan Negeri Perak dan agensi yang terlibat.
Dalam majlis sama, Ahmad Zahid turut berkongsi berita baik kepada penduduk Bagan Datuk dengan pengumuman pelantikannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet sempena Tahun Melawat Malaysia bermula 1 Januari 2026.
“Antara fokus saya adalah menaikkan produk kelapa Bagan Datuk ke peringkat antarabangsa agar produk yang ada di negara ini akan dikenali di seluruh dunia,” ujarnya.
-ZS-