
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/Mohamad Ezwandi (Perak)
TELUK INTAN, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Warga penjawat awam dan pemimpin masyarakat setempat antara peserta yang hadir menyertai Program Bicara Santai: Belanjawan 2025 yang berlangsung di Dewan Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak, di sini kelmarin.

Mufidah ketika berucap
Program yang memfokuskan kepada penyampaian maklumat berkenaan Belanjawan 2025 ini merupakan usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Malaysia di seluruh negara dan pelaksanaannya dibuat melalui Pejabat Penerangan Daerah yang terlibat.
Pegawai Daerah Hilir Perak Mufidah Mahfodz, berkata program seumpama ini adalah satu program yang sangat baik supaya kita beroleh maklumat yang tepat untuk disampaikan kepada masyarakat berkenaan Belanjawan 2025 yang dibentangkan.

Suasana dewan ketika program
“Ini adalah tanggungjawab kita sebagai penjawat awam dan pemimpin masyarakat untuk menyampaikan apa yang benar tentang inisiatif yang sedang diusahakan di peringkat kerajaan.
“Dalam Belanjawan 2025, kita lihat banyak fakta memberi gambaran data bahawa kesemua inisiatif dan peruntukan tersebut disediakan bagi memenuhi keperluan dan kebajikan rakyat di negara ini,” ujarnya ketika merasmikan program.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Perak Yosri Abu Mahsin, berkata Belanjawan 2025 ini merupakan belanjawan negara paling besar dalam sejarah untuk memacu pembangunan Malaysia dalam kerangka lima tahun akan datang.
“Kerajaan hari ini adalah kerajaan rakyat yang berpaksikan kepada kesejahteraan hidup rakyat bagi membugar ekonomi negara iaitu bertujuan untuk memurnikan ekonomi setelah dilanda pandemik COVID-19 yang masih terkesan kepada kita.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menyokong iltizam kerajaan untuk membangunkan rakyat di negara ini kerana tidak ada kerajaan di dunia ini yang ingin melihat rakyatnya terus miskin dan melarat,” katanya.
Sesi bual bicara santai ini menampilkan dua orang panel iaitu Pegawai Penerangan Daerah Muallim Mohamad Shahiran Mohamed Jamiludin dan Pegawai Penerangan Daerah Bagan Datuk Mohammad Rasuli Ras-Nazeruddin.
-AA-