
Laporan/foto: Noorul Arizah Md Razani (Rembau)
REMBAU, 16 Nov (MalaysiaAktif) – Projek Roboh dan Bina Baharu Masjid Kariah Bongek daerah Rembau bagi menggantikan masjid sedia ada yang berusia 70 tahun yang telah rosak akibat berlakunya kebakaran pada April 2021 adalah merupakan salah satu masjid daripada lima senarai masjid yang telah diluluskan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 2023.

YAB Menteri Besar menyampaikan ucapan perasmian
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Turut hadir pada majlis ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri, Pengarah JHEAINS, Ketua-ketua Jabatan, Jurutera Daerah, serta Ahli Kariah setempat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata masjid yang akan dibina ini direka bentuk untuk menampung seramai 360 jemaah dan merupakan salah satu usaha kerajaan negeri menyediakan kemudahan ibadah yang selesa dan kondusif kepada masyarakat Islam khasnya penduduk kariah ini.

Jurutera JKR Rembau memberi penerangan berkaitan status pembinaan projek
“Dengan adanya masjid yang dijadikan sebagai pusat aktiviti dan urusan umat Islam dalam sebuah kawasan, ia secara langsung menjadi magnet yang menghubung dan mengukuhkan persaudaraan Islam yang seharusnya menjadi keutamaan dalam sebuah komuniti muslim yang ada dalam sesuatu daerah,” ujarnya.
Salah seorang penduduk Kassim Alias, 45, sangat gembira dan teruja dengan pembinaan masjid baharu ini.
“Selepas ini kami penduduk kampung dapatlah menjalankan ibadah dengan lebih selesa dan kami harap segala urusan pembinaan ini berjalan lancar dan masjid dapat disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.
Projek pembinaan masjid baharu yang menelan belanja sebanyak 4.5 juta ringgit tersebut dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Oktober 2025.
-AA-