
Laporan/foto: Julia Chua (Sarawak)
SONG, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Kelas anyaman kraf tangan tempatan telah mendapat sambutan menggalakkan terutama generasi muda.

Daisy Unggang.
Penganjur program yang juga Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional Song (NADI) Song, Daisy Unggang, 41, berkata beliau amat mengalu-alukan mana-mana individu yang ingin belajar anyaman atau kraf tangan.
“Kami sedia membantu memberi tunjuk ajar secara individu atau berkumpulan serta membantu memasarkan produk yang dihasilkan,” katanya.
Menurut Daisy lagi, NADI membantu masyarakat untuk belajar sepanjang hayat serta membantu mana-mana individu yang berminat menjana pendapatan melalui pembuatan kraf tangan.
“Sokongan dan tunjuk ajar berterusan akan diberi terutama bagi pemula yang baru menceburi bidang kraf tangan dan tidak tahu hala tuju memasarkan hasil karya mereka,” katanya.

Miyah Terang.
Menurut salah seorang peserta Fatimah Ilam, 64, beliau berminat menyertai aktiviti tersebut kerana masa terluang dapat diisi dengan perkara yang bermanfaat selain dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan peserta pelbagai kaum seperti Iban, Melayu dan juga Cina.
Turut memberi tunjuk ajar ialah Miyah Terang, 32, seorang pengusaha anyaman.
Miyah yang aktif berniaga dan menerima tempahan anyaman di daerah Song serta dari luar kawasan Song turut memasarkan perniagaan secara fizikal dan dalam talian di NADI Song, Gerai Majlis Daerah Song serta di platform TikTok, Shopee serta WhatsApp.
-ZS-