
Laporan/foto: Zaidy Salim/Jabatan Penerangan
PUTRAJAYA, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam merupakan usaha berterusan yang bertujuan membina asas kukuh bagi masa depan negara.
“Bagi merealisasikan matlamat ini satu pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) akan diperkasa,” kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Shamsul Azri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dekat sini hari ini.
“Antara inisiatif utama yang sedang diusahakan oleh pasukan STAR ialah Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi dan Pekeliling Uji Kaji Peraturan, yang dapat menyokong pelaksanaan perubahan secara sistematik bagi mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan dan menjadikan urusan dengan kerajaan lebih mudah, cepat dan tepat.
“Dengan semangat yang sama, pasukan STAR menyambut baik usaha Perbadanan Putrajaya meningkatkan kecekapan perkhidmatan pusat sehenti (OSC) dengan pengurangan 50 peratus tempoh memproses permohonan. Begitu juga dengan inisiatif pendigitalan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) yang telah meminda Akta 98 dan menggunakan sistem MyLAND,” katanya.
MyLAND ialah sistem yang menggantikan sistem MyeTaPP bagi apa jua urusan melibatkan bicara pusaka kecil.
Menurutnya lagi, langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan MADANI membuktikan bahawa kita bersedia untuk menghadapi cabaran global dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati di persada antarabangsa.
“Melangkah ke hadapan, kita telah berada pada landasan yang tepat dalam merealisasikan wawasan untuk menjadi sebuah negara maju dan inklusif seiring dengan matlamat ekonomi MADANI.
“Insya-Allah, dengan mendakap kemas firman Allah SWT seperti mana dalam surah Al-Asr di awal ucapan tadi, saya dan seluruh anggota perkhidmatan, dengan semangat Itqan fil Amal dan semangat Islah Masta to’tu, akan terus mendukung aspirasi Kerajaan MADANI, bergerak sederap selangkah, demi menjayakan gagasan Malaysia MADANI,” katanya.
Ketua Setiausaha Negara turut mengumumkan Deklarasi Kuala Lumpur – Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia iaitu satu komitmen bersama penjawat awam seluruh negara untuk menyokong sepenuhnya agenda reformasi perkhidmatan awam, yang akan dimeterai oleh semua pentadbiran kerajaan negeri.
“Ini adalah satu ikrar bahawa kita semua, di peringkat persekutuan dan negeri, bersatu hati untuk mengangkat martabat perkhidmatan awam yang berorientasikan kepentingan rakyat.
“Tahun hadapan, kita akan lihat pelaksanaan reformasi yang lebih menyeluruh dengan pengenalan ILTIZAM Perkhidmatan Awam yang akan kita angkat sebagai satu akta di peringkat persekutuan,” katanya.
-ZS-