
Laporan/foto: Juliana Abdullah/Othman Morni
LUNDU, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Program Info on Wheels (IOW) yang dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) merupakan salah satu program turun padang dan bersemuka dengan menyantuni komuniti dan masyarakat dalam usaha membantu pihak kerajaan menyampaikan dasar, maklumat dan sesuatu program.
Pegawai Penerangan Daerah Lundu Juliana Abdullah semalam, berkata JaPen Daerah Lundu telah mengadakan program hebahan IOW ini secara konsisten setiap minggu dalam usaha menyampaikan maklumat dan naratif yang terkini seperti Belanjawan 2025 secara terus kepada komuniti dan masyarakat.

Sesi penerangan olehPegawai Penerangan Daerah Lundu (kiri) kepada Penghulu Jumahdi Sabian (kanan).
“Melalui program ini, Unit Bergerak JaPen daerah Lundu akan bergerak ke taman-taman perumahan, kampung-kampung mahupun pekan untuk membuat hebahan, penjelasan secara bersemuka dan edaran risalah.
“Pihak JaPen turut menjalinkan kerjasama dan membantu rakan-rakan strategik dan agensi-agensi Persekutuan dan Negeri untuk membuat hebahan berkaitan program-program yang akan dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Jumahdi Sabian, 54, yang juga Ketua Masyarakat Kawasan Zon Sematan, berkata program IOW ini adalah satu pendekatan bersemuka yang sangat dekat dengan masyarakat kerana maklumat disampaikan secara terus kepada masyarakat selain masyarakat lebih yakin dengan maklumat yang disampaikan oleh Jabatan Penerangan.
Tambahnya, walaupun mengakui kepantasan capaian maklumat masa kini sangat mudah diperolehi, namun masyarakat masih perlu membuat penilaian kesahihan terhadap sesuatu maklumat.
“Saya berharap hebahan maklumat melalui program IOW ini dapat dikekalkan dan diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
-ZS-