
Laporan/foto: Pauline Sating (Sarawak)
BINTULU, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Udang Kampung Kuala Segan adalah pilihan hidangan yang terkenal dalam kalangan peminat makanan di sini.
Hidangan ini disajikan dengan pelbagai aneka jenis masakan udang dicecahkan sos yang dibuat sendiri menjadikannya lebih menyelerakan.

Rosneja.
Bagi pengunjung yang pertama kali datang ke Bintulu, Paruq Vaie wajib dikunjungi untuk menikmati pelbagai jenis juadah masakan udang.
Di atas sokongan ahli keluarga, Rosneja Abdul Rahman, 50, mulai membuka Paruq Vaie, iaitu kedai yang mampu menampung kira-kira 100 orang pengunjung dan beroperasi bermula dari pukul 5.00 petang hingga 8.00 malam setiap hari kecuali hari Isnin.
“Idea untuk menceburi bidang ini kerana minat sejak dari zaman muda lagi, setelah banyak membantu dan bekerja di gerai, kedai makanan yang diusahakan oleh saudara mara.
“Bermula dari warung kecil menjual buger, masak mee di tepi rumah dan baru timbul minat yang semakin membara ingin menjadikan sebagai realiti untuk membuka kedai makanan sendiri,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Menurutnya, bekalan udang segar pelbagai saiz diperolehi daripada nelayan Kampung Kuala Segan yang dihantar terus kepadanya.
“Kebanyakan pelanggan yang datang mengunjungi kedai merupakan pelanggan tetap.

Pelanggan tetap yang mengunjungi kedai Rosneja.
“Buat masa ini saya amat bersyukur kerana pelanggan yang datang adalah termasuk dari Semenanjung Malaysia, Singapura, Australia, Brunei, pemimpin-pemimpin tempatan, syarikat-syarikat dan pelanggan yang setia,” katanya.
Tambahnya, beliau turut menggunakan platform media sosial iaitu Facebook untuk menarik lebih ramai pelanggan dan bermula dari situ perniagaannya semakin berkembang dan kadangkala tidak dapat menampung permintaan pelanggan.
“Pelbagai cara masakan udang yang menarik minat pengunjung seperti tivuk vaie (masakan tradisional), udang masak sambal, udang masak nestum, udang masak merah, udang bakar dan udang masak kunyit.
“Selain makanan udang pengunjung juga boleh menikmati masakan lain seperti sup tulang, sotong crispy (rangup), sotong masak kicap, nasi geprek, nasi ayam, mi goreng, ikan siakap, ikan sweet sour (masam manis), umai, linut yang perlu ditempah lebih awal supaya mereka tidak menunggu terlalu lama,” katanya.
Untuk rekod, beliau pernah menerima bantuan peralatan dapur daripada Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) pada tahun 2022 berupa pengisar daging, freezer, chiller dan blender.
-ZS-