Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanSelangor

KPDN Selangor, MBDK Gempur Pasar Meru

By 27 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor

SHAH ALAM, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Majlis Bandaraya DiRaja Klang (MBDK) mengempur Pasar Awam Meru, Klang dalam satu operasi bersepadu hari ini.

Operasi bermula pukul 9.30 pagi melibatkan 30 anggota penguat kuasa memfokuskan pelbagai aspek pemeriksaan mengikut kepada bidang kuasa perundangan agensi masing-masing.

KPDN Selangor mengesan 11 kes kesalahan di bawah AKHAP 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ketua Sektor Pencegahan Seksyen Penguatkuasa KPDN Selangor Md Zaki Abd Samad, berkata pemeriksaan secara mengejut dilakukan terhadap 350 premis niaga di dalam kompleks berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan selaras dengan peruntukan perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Timbang Sukat 1972.

“Pemeriksaan melibatkan keberadaan bekalan barangan basah seperti hasil laut, ayam, daging, sayur-sayuran termasuklah lain-lain barangan keperluan harian pengguna untuk dijual di pasar tersebut.

“Fokus turut diberikan kepada kedudukan harga jualan, pematuhan penandaan harga barang dan penggunaan alat timbangan yang telah ditentusahkan untuk berniaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penguat kuasa KPDN Selangor kelihatan sedang bertanya sesuatu kepada seorang peniaga sebuah premis di Pasar Meru Klang.

Jelas beliau, pemeriksaan menghasilkan 11 kes yang melibatkan tiga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011), tujuh kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan satu kes akan disiasat lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Operasi hari ini memberi isyarat kepada pengendali kompleks pasar, termasuklah peniaga untuk sentiasa waspada dan peka supaya mempunyai pematuhan yang baik.

“Kerjasama erat di antara agensi penguatkuasaan di negeri Selangor akan terus dipertingkatkan bagi melindungi kepentingan pengguna Selangor serta membantu peniaga cakna dan beretika,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda