Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Kumpulan Muslimah Al-Medina MMTI Perkasa Peranan Wanita

By 5 Disember 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Farid Izzemeer (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Kumpulan Muslimah Al-Medina merupakan kumpulan muslimah yang ditubuhkan pada 2017 dianggotai oleh ahli kariah wanita Masjid Melayu Teluk Intan (MMTI) yang memberi fokus kepada pemerkasaan wanita dalam masyarakat.

Tujuan utama kumpulan ini adalah sebagai payung yang menyatukan muslimah dalam usaha menyusun dan melaksanakan gerak kerja bagi memperoleh manfaat dari segi ilmu, ibadah dan kebajikan.

Ketua Komuniti MADANI Jalan Maharajalela Profesor Ir. Dr. Shuib Sahudin (kiri) turut hadir menyampaikan sumbangan penghargaan.

Pengerusi Kumpulan Muslimah al-Medina MMTI Ustazah Mariah Abdul Kadir, berkata Kumpulan Muslimah Al-Medina berperanan secara objektif dan produktif untuk memperkasa peranan dan sumbangan wanita dari segenap aspek termasuk pendidikan, kebajikan, kemahiran dan ekonomi selain pembangunan modal insan yang cemerlang.

“Majlis pada hari ini merupakan salah satu program tahunan kumpulan ini yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli di samping meraikan keterlibatan ahli dalam pelbagai program sepanjang tahun,” ujarnya pada Majlis Kesyukuran Akhir Tahun 2024 yang berlangsung di Anjung Santap MMTI, di sini kelmarin.

Pada program tersebut, Kumpulan Muslimah al-Medina MMTI turut menyampaikan Anugerah Muslimah Terbilang Legasi Mak Intan 2.0 kepada seorang tokoh wanita iaitu Orang Besar 32 Perak Salasiah Din yang telah lama menabur bakti sebagai Orang Besar Negeri Perak dan beliau juga pernah melakar sejarah menjadi pengadil bola sepak wanita pertama di Malaysia.

Selain penganugerahan tersebut, penghargaan juga diberikan kepada ustaz dan ustazah yang mengendalikan kuliah duha di MMTI dan penyampaian hamper keperluan dapur kepada 100 penerima.

-ZS-

Tinggalkan komen anda