Laporan/foto: Maherah Marina Mahusein/Nik Noor Fatin Fatihah Nik Hasri (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Pasar Raya Mayang yang telah dinantikan ramai kini telah memulakan operasinya pada hari ini. Tinjauan awal mendapati kompleks membeli-belah terbesar di Terengganu itu telah dibanjiri orang ramai sejak awal pagi.
Menurut Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. TS. Fadzilah Abdilah Abdul Majid, pembukaan Pasar Raya Mayang memberikan peluang kepada pihak UMT untuk memperkenalkan produk kesihatan yang dibangunkan oleh universiti tersebut.
“Saya berharap dengan pembukaan Pasar Raya Mayang ini, ia akan memberi ruang dan tempat kepada usahawan-usahawan kecil untuk berniaga dengan kadar sewa yang berpatutan,” katanya.
Seorang pengunjung, Nur Hidayah Kadir, 35, turut melahirkan rasa teruja dengan pembukaan Pasar Raya Mayang yang disambut meriah.
“Saya sangat gembira kerana selepas ini saya tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur untuk membeli-belah di pasar raya besar, terutamanya musim perayaan. Pasar Raya Mayang sudah menyediakan pelbagai pilihan untuk kami,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pembukaan pasar raya ini diyakini dapat memberikan impak positif terhadap ekonomi rakyat tempatan, terutama dengan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri yang akan datang untuk membeli-belah di Terengganu.
“Dengan kemudahan dan pilihan yang ditawarkan, saya yakin Pasar Raya Mayang akan menjadi destinasi utama bagi pelancong dan warga tempatan,” katanya.
-ZS-