
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Lebih 5,000 orang warga Gombak dan Selangor hadir ke Jualan Termurah Madani (JTM) peringkat negeri Selangor yang diadakan di Tapak Pasar Malam Taman Pinggiran Batu Caves, di sini hari ini.
Menteri Besar Selangor DatukSeri Amirudin Shari, berkata program bermula pukul 8.00 pagi itu diadakan serentak dengan Jualan Ehsan Rahmah (JER) iaitu inisiatif Kerajaan Selangor sejak tahun 2022.

Kelihatan pengunjung JTM di Gombak beratur seawal pukul 8.00 pagi untuk mendapatkan barangan keperluan yang dijual lebih rendah daripada pasaran.
“JTM merupakan inisiatif baharu Kerajaan Persekutuan sementara JER pula adalah usaha kerajaan Selangor membantu rakyat mendapatkan bekalan barangan keperluan asas pada harga murah.
“Ini gabungan jualan menarik yang menjadi satu contoh apabila sebuah kerajaan perpaduan yang stabil dapat diwujudkan, banyak memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Peluncuran Serentak JTM Peringkat Negeri Selangor.

Orang ramai yang hadir sedang membeli hasil laut yang segar dan murah yang dijual di program JTM.
Antara barangan yang dibawa menerusi jualan hari ini seperti hasil laut (ikan, ketam, sotong), ayam, telur dan beras.
Peluncuran serentak JTM disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh.
Selain Gombak dan Permatang Pauh, JTM turut diadakan di Port Dickson dan Sungai Petani.
-ZS-