Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Lebih 4,000 peserta menyertai Larian Selangor Bypass Half Marathon 2024 sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor yang ke-79.
Acara larian itu membabitkan kategori 21 kilometer (km), 12km dan 6km yang pelepasannya dibuat secara berperingkat bermula pukul 4.30 pagi hingga 7.15 pagi.
Selain peserta tempatan, larian ini turut mendapat sambutan peserta luar seperti dari negara-negara Afrika, Eropah serta Asia.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari telah hadir untuk menyempurnakan pelepasan peserta.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer Anfaal Saari dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.
Mohd Najwan ketika ditemui memaklumkan Larian Selangor Half Marathon akan menjadi acara tahunan.
“Peserta larian berpeluang menikmati pemandangan indah daripada atas Rawang Bypass.
“Kita akan cuba tingkatkan acara ‘half marathon’ ini kepada ‘full marathon’,” jelasnya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memasukkan acara larian ini di dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025.
-ZS-