
Laporan/foto: Mohd Faizal Mat Akhir (Timur Laut)
GEORGE TOWN, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Hasrat murni untuk membantu pesakit yang memerlukan mendorong seorang penjawat awam untuk menderma darah buat kali pertama.

Antara penderma darah yang hadir.
Safwanah Zulkopli, 29, yang bertugas di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), meluahkan rasa teruja apabila akhirnya berjaya merealisasikan hasrat yang telah lama terpendam.
“Sudah lama saya ingin menderma darah tetapi kesibukan kerja sering menjadi penghalang, alang-alang kempen ini diadakan berdekatan tempat kerja, saya tidak mahu melepaskan peluang ini.
“Saya harap langkah kecil ini dapat memberikan impak besar kepada mereka yang memerlukan dan insya-Allah, saya akan terus menderma darah pada masa akan datang,” katanya kepada Malaysia Aktif usai proses menderma darah, kelmarin.

Kaunter pendaftaran derma darah.
Kempen derma darah yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan kerjasama Unit Transfusi Hospital Pulau Pinang, berlangsung di Tingkat 3, KOMTAR dan mendapat sambutan hangat daripada kakitangan awam serta masyarakat di sekitar.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam, Unit Transfusi Hospital Pulau Pinang Mohd Faiz Mansur, 37, menderma darah secara berkala dapat membantu menjaga kadar zat besi dalam badan pada tahap yang sihat sekaligus dapat mengurangkan risiko penyakit jantung.
“Penderma darah juga berpeluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan percuma setiap kali mereka menderma,” katanya.
-ZS-