Laporan/foto: Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail (Kemaman)
KEMAMAN, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali mengadakan lawatan ke SMK Ayer Puteh, untuk menyantuni calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang terjejas akibat banjir, di sini kelmarin.
Banjir yang melanda beberapa kawasan di Kemaman minggu lalu telah memberi kesan besar kepada banyak pelajar menyebabkan mereka menghadapi kesukaran dalam persediaan peperiksaan.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Armizan menyampaikan bantuan kepada 83 orang pelajar yang terkesan termasuk sumbangan Bakul Rahmah yang mengandungi makanan sedia dimakan, minuman serta kelengkapan alat tulis untuk kegunaan pelajar-pelajar tersebut.
Menurut seorang pelajar Nur Balqis Nor Azman, 17, beliau melahirkan rasa teruja dan gembira atas kesudian pihak KPDN untuk menyantuni pelajar-pelajar yang terjejas di sini.
“Saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak KPDN kerana sudi menyantuni kami di sini dan memberikan sumbangan yang sangat bermakna ini,” katanya.
Seorang lagi pelajar Mohd Adiq Fathullah Laili, 17, turut melahirkan rasa gembira dan merasa dihargai dengan perhatian yang diberikan kepada golongan pelajar dalam menghadapi cabaran ini.
“Sumbangan dan kunjungan ini pastinya memberi motivasi yang tinggi seterusnya menaikkan semangat kami untuk menghadapi peperiksaan SPM kali ini,” katanya.
Lawatan dan bantuan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan pelajar yang terjejas akibat bencana serta usaha berterusan untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam persediaan peperiksaan.
-ZS-