
Laporan/foto: Evelyn Edward Sini/Winnie Mathew/Budin Gumbang (Sarawak)
KAPIT, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Perjanjian Perdamaian 100-Tahun antara kaum Iban dan Orang Ulu telah menjadi peristiwa bersejarah yang penting buat masyarakat di Kapit bagi memastikan keharmonian di antara dua kaum tersebut.

Temenggong Datuk Wilfred Billy Panyau menerangkan mengenai sejarah Kubu Sylvia
Oleh itu, bagi memperingati perjanjian bersejarah tersebut yang telah dimeterai pada 16 November 1924, Majlis Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-100 Tahun Perjanjian Perdamaian Kapit telah diadakan bermula dari 4 hingga 8 Disember 2024, di sini.

Perarakan perahu panjang
Majlis sambutan tersebut juga turut diisi dengan pelbagai program iaitu seminar, pertandingan bot laju, serta pameran dan jualan daripada pelbagai pertubuhan seperti Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Pertubuhan Orang Ulu Nasional (OUNA).
Menurut Temenggong Datuk Wilfred Billy Panyau, 83 tahun, generasi baharu sangat beruntung kerana mereka berpeluang menyertai sambutan 100 tahun tersebut.
“Majlis ini julung kalinya diadakan sejak perjanjian ini ditandatangani dan saya berharap agar generasi akan datang terus menjaga keharmonian yang telah tercipta.
“Program ini merupakan satu penghormatan besar bagi masyarakat Kapit amnya untuk mengenang jasa nenek moyang yang telah berusaha menjaga keharmonian di antara pelbagai kaum,” kata Datuk Wilfred Billy Panyau ketika ditemui semalam.
-AA-