Laporan/foto: Muhamad Muzaffar Marrudzuki
TAMPIN, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Perlaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini menyalurkan sumbangan bantuan banjir kepada 222 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana banjir yang menimpa penduduk sekitar Gemas, minggu lepas.
Tengku Zafrul hadir di Dewan Semai Bakti Felda Jelai 2, Gemas, dekat sini bagi menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada mangsa-mangsa yang telah terkesan akibat bencana banjir yang berlaku.
Menurutnya, Kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam membantu setiap rakyat yang ditimpa kesusahan tanpa ada sebarang pengecualian kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan untuk sentiasa ada bersama rakyat.
“Bantuan ini tidak mampu menggantikan kerugian akibat bencana banjir yang berlaku, tapi bantuan ini merupakan bukti bahawa kerajaan akan sentiasa berada di sisi rakyat ketika musibah melanda,” ujarnya.
Sementara itu, seorang mangsa banjir Noraazam Sahat, 65, dari Kampung Pasir Besar meluahkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar Gemas.
“Meski bantuan yang diberikan tidak banyak namun impaknya sangat besar dalam meringankan beban kami mangsa-mangsa banjir di sini dalam mengharungi ujian,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh Suhaimizan Bizar.
-ZS-