
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hilir Perak
TELUK INTAN, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Dewan Serbaguna Padang Tembak, di sini ditutup secara rasmi mulai pukul 4.30 petang semalam.

Petugas APM sedang menguruskan warga emas yang uzur sebelum dihantar pulang ke rumahnya.
PPS tersebut dibuka pada Ahad lalu bagi menempatkan 89 mangsa susulan status aras air sungai yang menaik dan telah melebihi aras bahaya mengakibatkan banjir membabitkan beberapa kawasan termasuk Kampung Batu 7, Selabak, Lorong Imam Khairi, Lorong Kedah, Lorong Sidang Osman dan beberapa kawasan berdekatan.
Menurut Pegawai Daerah Hilir Perak Mufidah Mahfodz, penutupan PPS itu diputuskan setelah mendapat nasihat dan meneliti keadaan kawasan berlaku bencana banjir dan semua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah.

Penduduk dihantar pulang ke rumah dengan menggunakan kenderaan APM.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, Penghulu, individu, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang bertungkus-lumus membantu dan menyelaras PPS dengan baik sepanjang ia beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan, petang semalam.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak Kapten (PA) Mohd Affindi Ishak, mengingatkan agar penduduk sentiasa berwaspada dan mendengar arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Kita masih berada dalam Monsun Timur Laut di mana hujan lebat boleh berlaku pada bila-bila masa dan situasi ini boleh mengakibatkan kejadian banjir,” ujarnya.
-ZS-