
Laporan/foto: Noorul Arizah Md Razani (Rembau)
REMBAU, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI) merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

Suhaimi menandatangani plak semasa gimik perasmian disaksikan Pengerusi JPKK Kampung Legung Ulu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Suhaimi Aini, melalui program ini diharapkan dapat membantu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam usaha meningkatkan pendapatan komuniti serta memberi peluang pekerjaaan kepada komuniti setempat.
Katanya, Majlis Perasmian perusahaan kerepek Kampung Legung Ulu yang diadakan di Dewan PPRT Kampung Legung Ulu, di sini kelmarin adalah untuk memperkenalkan salah satu perusahaan produk tempatan yang telah berjaya dilaksanakan di bawah SejaTi MADANI.
“Ini adalah kali pertama kerajaan memberi peruntukan secara terus kepada JPKK untuk menguruskan dan melaksanakan projek berbentuk perniagaan seperti ini.
“Program yang berbentuk perniagaan seperti ini adalah bertujuan untuk membantu ekonomi setempat terutamanya komuniti yang berada dalam JPKK Kampung Legung Ulu ini,” katanya.
Menurutnya, kepimpinan kerajaan negeri amat mengharapkan supaya projek ini dapat dijayakan supaya faedahnya akan dirasai bersama rakyat.

Suhaimi menggoreng pisang bersama pengusaha.
“Di kawasan Kota ini kita ada 25 buah kampung, 21 daripadanya telah diluluskan dan ada lagi empat buah kampung yang belum diturunkan peruntukan lagi kerana masih memilih perniagaan yang bersesuaian.
“Justeru itu, kita mengharapkan perusahaan ini nanti bukan sahaja menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat malahan diharapkan dapat membantu setiap pertubuhan yang ada di dalam Kampung Legung Ulu ini serta dapat menjaga kebajikan dalam kariah Kampung Legung Ulu ini,” katanya.
Penduduk kampung tersebut Rejab Ismail, 45, berkata perusahaan kerepek ini akan menaikkan nama Kampung Legung Ulu ini sekali gus menjana ekonomi setempat.
-ZS-