Laporan/foto: Saiful Nizam Ibrahim (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Simfoni Perpaduan Silang Budaya Johor yang dirangka Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Johor berpandukan Dasar Perpaduan Negara agar budaya dan amalan hidup difahami, dihormati oleh semua rakyat Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor Raven Kumar Krishnasamy ketika merasmikan majlis di Dewan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini semalam, berkata sejak zaman dahulu, negara kita mengamalkan konsep integrasi kaum yang memberi kebebasan kepada semua kaum untuk mengamalkan adat dan budaya masing-masing selagi ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan Rukun Negara.
“Penerapan elemen silang budaya dan pembentukan Identiti Nasional dalam kalangan pelajar sekolah amat penting beserta aktiviti secara fizikal.
“Ini lebih difahami dan dihayati oleh peserta ketika menjalankan aktiviti silang budaya dengan peneguhan di hujung setiap aktiviti,” katanya.
Katanya lagi, aktiviti secara fizikal memberi peluang lebih luas kepada pelajar untuk berkenalan, berkomunikasi secara langsung dalam meningkatkan lagi kebolehupayaan interaksi dan bersosialisasi antara satu sama lain.
Menurut Pengarah JPNIN Negeri Johor Nurul Akmalina Shamsuddin, dalam dunia yang semakin mencabar, adalah penting bagi kita untuk memahami dan menghargai kepelbagaian budaya yang ada seperti yang pernah diungkapkan oleh sasterawan negara Usman Awang, “perpaduan adalah kekuatan dan kekuatan adalah perpaduan”.
-ZS-