
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Sejumlah RM6 juta diperuntukkan kerajaan Selangor bagi menggalakkan kitar semula dalam kalangan rakyatnya.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri tersebut perlu mengenal pasti 100 kejiranan untuk diletakkan tong-tong bagi mengutip sisa pepejal yang telah dikitar semula secara teratur.

Amirudin ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Alam Sekitar Peringkat MPS di Padang Batu Caves.
“Itu antara program baharu yang akan kita laksanakan dan kerajaan negeri akan belanjakan RM6 juta.
“Kita mulakan kejiranan dahulu seperti di apartmen, taman perumahan atau kampung,” katanya.
Menurut Amirudin, langkah berkenaan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ke-17.
“Iaitu ia melibatkan keterlibatan rakyat di dalam menjamin kelestarian.
“Nilainya sangat besar kerana akan memanjangkan lagi kualiti kehidupan di dunia ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Amirudin dan tetamu jemputan bergambar bersama orang ramai yang hadir menjayakan Karnival Alam Sekitar Peringkat MPS hari ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Karnival Alam Sekitar Peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Padang Batu Caves, di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz dan Yang Dipertua MPS Shahman Jalaluddin.
Sempena program berkenaan pelbagai pengisian dilaksanakan termasuk pelancaran Logo Bersih, penyerahan barangan Program Zon Bersih dan penyampaian hadiah pertandingan program Bank Kitar Semula.
-ZS-