Laporan/foto: Hendry Nurdin/Mohd Shakir Salleh (Sabah)
LAHAD DATU, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Lahad Datu dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu mencapai kata sepakat untuk menubuhkan Pasukan Bomba Komuniti di sembilan kampung Komuniti MADANI.
Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh peranan komuniti di peringkat kampung sebagai sukarelawan yang lebih dinamik dan responsif dalam hal-hal berkait keselamatan.
Pegawai Penguasa Bomba Daerah Lahad Datu Sumsoa Rashid, berkata penubuhan pasukan bomba komuniti ini adalah antara langkah terbaik untuk meningkatkan kesedaran dan menanamkan rasa tanggungjawab dalam masyarakat mengenai pentingnya keselamatan kebakaran di peringkat kampung atau komuniti.
“Semua sukarelawan yang dilantik akan mengikuti siri kursus dan latihan bersama pihak bomba bagi memastikan mereka sentiasa bersedia sekiranya berlaku sebarang bencana kebakaran.
“Masyarakat yang celik keselamatan kebakaran bukan sahaja mampu melindungi diri dan keluarga mereka, tetapi juga dapat mengurangkan risiko kemalangan besar yang boleh memberi impak negatif kepada komuniti secara keseluruhan,” katanya.
Menurutnya lagi, selain itu mereka mampu menjadi agen perubahan, mendidik orang lain tentang amalan keselamatan terbaik dan mendorong masyarakat mereka untuk lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Sikap ini juga membantu mengurangkan tekanan ke atas pihak bomba dan penyelamat, sekali gus membolehkan sumber dan bantuan disalurkan dengan lebih efektif untuk menangani insiden besar,” katanya ketika kunjungan hormat PPD Lahad Datu ke pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu Hendry Nurdin menyatakan komitmen terhadap keselamatan kebakaran bukan hanya terletak di tangan pihak berkuasa, tetapi perlu menjadi tanggungjawab bersama semua lapisan masyarakat.
“Kita perlu bekerjasama, terutamanya di kawasan kampung yang terletak jauh dari bandar dan balai bomba untuk memastikan keselamatan semua terjamin.
“Kami berharap agar lebih banyak pasukan bomba komuniti dapat ditubuhkan di peringkat kampung sebagai langkah untuk memperluas kesedaran awam mengenai keselamatan kebakaran,” ujarnya.
Ketua Kampung merangkap Bendahari Komuniti Madani Kampung Telisai Mohamed Yusop Abd Rajin, 59, menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada JBPM Lahad Datu atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan penubuhan Pasukan Bomba Komuniti di Kampung Telisai.
“Saya dan keluarga sendiri pernah terlibat dalam insiden kebakaran pada bulan Ogos yang lepas di mana kami kehilangan seorang anak saudara dalam kejadian tersebut.
“Pengalaman dan kesukaran yang kami alami telah banyak menyedarkan saya dan penduduk kampung tentang akibat kekurangan pengetahuan dan persediaan yang sepatutnya,” katanya.
Untuk makluman, sehingga kini dua pasukan bomba komuniti telah ditubuhkan iaitu di Kampung Sabah Baru pada akhir tahun 2023 dan di Kampung Telisai pada 16 November lalu.
-ZS-