Skip to main content
Berita TempatanSelangor

Tumpahan Minyak Kelapa Sawit Berjaya Dikawal

By 26 Disember 2024Disember 27th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS

SHAH ALAM, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin memaklumkan tumpahan minyak sawit susulan kemalangan lori tangki awal pagi semalam di Kilometer 27.9 Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur berjaya dikawal.

Kerja-kerja kawalan memerangkap kesan minyak kelapa sawit yang tumpah giat dijalankan

Katanya, konsesi lebuhraya terlibat iaitu AFA PRIME Berhad segera melaksanakan pengawalan tumpahan minyak daripada insiden berkenaan dengan meletakkan serbuk kayu di atas jalan dan membina ban tanah di longkang lebuhraya.

“Pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melaksanakan semakan menyeluruh di lokasi insiden dan persekitarannya sejurus tiba dan mendapati tumpahan minyak daripada kenderaan terlibat masuk ke dalam longkang berhampiran dengan jumlah anggaran sebanyak 20 tan dan sepanjang 150 meter.

Petugas LUAS sedang memeriksa keadaan tumpahan minyak sawit yang membeku di dalam longkang

“Semakan LUAS juga mendapati terdapat limpahan tumpahan tersebut yang terkumpul di kebuk takungan (sump) lebuhraya mengalir ke anak Sungai Gombak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesan daripada limpahan tersebut turut menjejaskan bekalan air mentah kepada loji rawatan air (LRA) Sungai Gombak bermula pada jam 2 pagi sehingga jam 6 petang semalam.

“LUAS seterusnya menyelaraskan kerja-kerja pembersihan di lokasi melalui kontraktor yang dilantik serta mengarahkan syarikat pemilik kenderaan terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja menyodok keluar sisa minyak yang telah membeku dengan lapisan yang tebal di dalam longkang dan kebuk takungan lebuhraya.

“Di samping itu, LUAS juga telah melaksanakan tindakan kawalan pencegahan dengan meletakkan tiga unit ‘oil boom’ di anak Sungai Gombak bagi memerangkap sebarang kesan minyak selain meletakkan sebanyak 10 beg ‘activated carbon’ (AC) di kawasan terlibat bagi tujuan nyahbau,” ujarnya.

Tambahnya, sehingga jam 10.30 pagi hari ini, kerja-kerja pembersihan di lokasi terlibat masih giat dijalankan oleh kontraktor yang dilantik bersama pihak LUAS, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan pihak Indah Water Konsortium (IWK).

“Sebanyak empat buah lori tangki sedut pihak IWK telah digunakan bagi menyedut sisa minyak di kebuk takungan lebuhraya.

“Kerja-kerja pembersihan telah mencapai tahap 60 peratus dan akan terus dilaksanakan susulan sisa minyak yang telah membeku memerlukan kerja-kerja menyodok keluar sisa,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda