
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Warna Warni Botani: Festival Fabrikasi di Taman Rimba Bukit Lagong di sini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Persatuan Seni Jahitan dan Kreatif Malaysia (PSJKM) Datuk Fully Chye Goet Lee sebelum diiringi untuk bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat dan ahli jawatan kuasa program berkenaan.

Kelihatan Tunku Azizah tertarik dengan hasil fabrik yang dipamerkan di Festival Fabrikasi.
Baginda seterusnya berkenan menyampaikan penghargaan kepada rakan strategik menjayakan program tersebut.
Turut hadir Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Kerterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari.
Fully ketika sembah ucapan memaklumkan program Warna Warni Botani: Festival Fabrikasi ini bukan sekadar acara seni tetapi sebuah platform penting untuk memupuk kelestarian dan inovasi sambil mengukuhkan kerjasama antara komuniti, usahawan, dan alam semula jadi.

Tunku Azizah berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang masyarakat Orang Asli yang menyertai Program Warna Warni Botani: Festival Fabrikasi di Taman Rimba Bukit Lagong.
“Dalam festival ini, kita dapat menyaksikan pelbagai aspek ekosistem yang meliputi booth usahawan nursery yang memperkenalkan tumbuhan untuk pewarnaan semula jadi, pavilion Orang Asli yang menampilkan kekayaan ilmu tradisional mengenai sumber alam, serta booth (reruai) jualan kraf komuniti tempatan.
“Semuanya mencerminkan usaha kami dalam memperluas kemahiran dan peluang ekonomi yang mesra alam,” katanya.
Program Warna-Warni Botani: Festival Fabrikasi berlangsung dari 5 hingga 8 Disember di Taman Rimba Bukit Lagong.
Festival ini menampilkan pelbagai pameran yang memaparkan keindahan flora tempatan serta bagaimana seni fabrikasi dan reka bentuk boleh dipadankan dengan unsur alam semula jadi menggunakan kaedah natural dye (pewarnaan sumber alam) dan eco printing (cetakan kreatif).
-ZS-