Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Dr. Sirhajwan: Perkasa Bahasa Inggeris Menerusi Virtual Remote Live

By 5 Disember 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)

KOTA KINABALU, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Projek inovasi Virtual Remote Live (VRL) berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dengan meraih pengiktirafan  di Anugerah Inovasi Bahasa Inggeris (ELTons).

ELTons adalah anugerah berprestij di peringkat antarabangsa anjuran British Council bertujuan mengiktiraf usaha inovasi bahasa Inggeris dalam bidang pengajaran, pembelajaran dan penilaian.

Sekitar program iNSPO@JAPEN.

Menurut Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Kolej Vokasional Keningau Dr. Sirhajwan Idek, dalam projek VRL ciptaanya itu, pelajar dapat membentangkan projek mereka dalam bahasa Inggeris secara langsung kepada peserta antarabangsa tanpa sebarang kos tambahan.

“Kaedah ini memberikan mereka peluang untuk meningkatkan kemahiran pertuturan dan penulisan dalam bahasa Inggeris di mana mereka tiada pilihan selain menggunakan bahasa tersebut, selain belajar bahasa, medium ini juga meningkatkan keyakinan pelajar.

“Bahasa adalah ilmu dan setiap individu memiliki potensi untuk mempelajarinya, tetapi mereka memerlukan sokongan dan pendekatan yang berbeza. Dengan skrip pembentangan dan latihan intensif, dapat membantu pelajar mengatasi ketakutan dan mengasah kemahiran bahasa mereka,” katanya dalam program iNSPO@JAPEN, di sini pada Selasa.

Dr. Sirhajwan, 37, juga bercita-cita untuk menyebarluaskan Projek VRL ke lebih banyak sekolah dan melibatkan lebih ramai guru serta pelajar sebagai pengendali program.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Siber, Geraldine Voo menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr. Sirhajwan disaksikan Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Nuzuluddin Abduk Razak serta Sunday.

“Saya berharap dapat mewujudkan modul atau sumber yang dapat memudahkan pembelajaran pelajar dan memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris mereka.

“Bahasa adalah amalan harian, jangan takut melakukan kesilapan. Teruskan bercakap, belajar, dan eksplorasi. Penguasaan bahasa bukan sahaja membuka peluang tetapi juga membentuk keyakinan diri,” jelasnya.

Dengan prinsip bahawa setiap individu mampu mencapai potensi mereka jika diberi sokongan yang tepat, Dr. Sirhajwan adalah contoh seorang pendidik yang membawa perubahan, bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga global.

-ZS-

Tinggalkan komen anda