
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
TANAH MERAH, 29 Disember (Malaysiaaktif) – Pada usia 83 tahun, Mohamad Husin atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Mat dari Taman Kayangan, Jalan Lubok, di sini masih mampu membaca dengan baik tanpa memerlukan bantuan cermin mata.
Ketika ditemui, Pak Mat tersenyum sambil berkongsi rahsianya menjaga kesihatan.
Menurutnya, gaya hidup sihat menjadi kunci utama keupayaannya ini.
“Tiada petua istimewa, cuma saya berhati-hati dengan pemakanan. Saya cuba elakkan minuman berais kecuali jika perlu.
“Saya makan sekadar menghilangkan lapar dan akan berhenti sebelum kenyang,” katanya kelmarin.

Membaca dan menghafal surah-surah tertentu al-Quran menjadi rutinnya Mohamad Husin.
Pak Mat juga tidak pernah meninggalkan ulam-ulaman sebagai pelengkap hidangan harian.
Selain itu, amalan membaca dan menghafal surah-surah tertentu al-Quran turut menjadi rutinnya yang menurutnya membantu menajamkan daya ingatan.
“Menjaga kesihatan diri penting dan apa yang kita makan dan aktiviti yang kita lakukan mempengaruhi kesihatan mata kita,” katanya.
Ketika ditanya mengenai masalah kesihatan, Pak Mat mengakui tidak pernah menghidap penyakit serius.
“Cuma pendengaran saya sedikit terganggu, itu sahaja,” katanya sambil tersenyum.
Penduduk setempat juga kagum dengan kesihatan dan semangat Pak Mat.
Menurut peniaga kedai kopi tempatan Kak Nab, 67, Pak Mat sering singgah membaca akhbar harian dan membeli makanan.
“Pak Mat memang pelanggan tetap saya. Setahu saya, dia mengamalkan bacaan surah-surah al-Quran sejak muda lagi.
“Walaupun sudah tua, dia masih sihat dan berdikari. Nak ke mana-mana pun senang,” ujar Kak Nab.
Kisah Pak Mat menjadi inspirasi bagi penduduk sekitar, membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk kekal sihat dan aktif, asalkan mengamalkan gaya hidup yang baik.