
Laporan/foto: Amiruddin Adli/Shuhaimi Ahmad
KUALA TERENGGANU, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Satu program kebajikan yang bertujuan menyantuni golongan asnaf telah berlangsung di Parlimen Kuala Terengganu dengan seramai 200 penerima asnaf menerima sumbangan dalam program Sumbangan Tautan Kasih YAB Perdana Menteri Parlimen Kemaman Terengganu, di sini kelmarin.

Sebahagian asnaf yang hadir pada Program Sumbangan Asnaf Perdana Menteri.
Wakil kepada Perdana Menteri, Azman Abidin yang menyampaikan bantuan tersebut, menjelaskan bahawa program ini dilaksanakan sebagai usaha kerajaan untuk memastikan bantuan sampai kepada setiap asnaf yang memerlukan di seluruh negara.
“Ini adalah misi kita untuk menyantuni semua Parlimen mewakili Perdana Menteri yang kini mempunyai jadual kerja yang padat.
“Melalui program ini, kita berusaha untuk menyampaikan bantuan kepada seluruh rakyat di negara ini,” katanya.
Salah seorang penerima sumbangan Noraini Ali, 50, yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini meluahkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan tersebut.

Noraini Ali ditemu bual ketika hadir menerima sumbangan.
“Saya amat berbesar hati dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana cakna dengan rakyat,” ujarnya.
Program ini bukan sahaja memberi sumbangan kewangan tetapi juga bertujuan mempererat hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam arus pembangunan negara.
-ZS-