
Laporan/foto: Noorlela Matsen (Sarawak)
KUCHING, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Perayaan Tahun Baru Cina sememangnya disambut penuh dengan kemeriahan oleh masyarakat Tiong Hua di seluruh negara.
Di Sarawak, suasana kian terasa sebulan sebelum perayaan tersebut apabila pelbagai hiasan warna-warni menghiasi premis perniagaan, jalan raya, serta bangunan kerajaan dan swasta.

Siti Fauziana Benjamin.
Perkara tersebut tidak terkecuali kepada jabatan-jabatan kerajaan yang turut tidak ketinggalan untuk mengambil inisiatif awal pada tahun ini dengan melaksanakan aktiviti menghias atau dekorasi bangunan sempena perayaan tersebut.
Lebih istimewa, usaha ini dilakukan secara bersama dan melibatkan kakitangan pelbagai bangsa dan agama.
Menurut penjawat awam Siti Fauziana Benjamin, 40, aktiviti seperti ini bukan sahaja memberikan peluang untuk memahami budaya masyarakat Tiong Hua, malah mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama rakan sekerja.
“Keseronokan bertambah apabila setiap bahagian menonjolkan kreativiti masing-masing dan ia benar-benar menyemarakkan semangat harmoni di tempat kerja,” katanya, di sini semalam.

Freda Mathew Manggi.
Sementara itu, menurut seorang lagi penjawat awam Freda Mathew Manggi, 49, gandingan bahu sesama rakan sekerja semasa menghias pejabat mampu menambah seri keindahan, keceriaan dan kemeriahan suasana hari perayaan di pejabat.
Inisiatif dekorasi perayaan seperti ini menjadi bukti bahawa perayaan kebudayaan mampu menyatukan pelbagai kaum di Malaysia, sekali gus mengekalkan keharmonian yang telah lama terjalin.
-ZS-