
Laporan/foto: Hendry Nurdin/Mahader Lahaire (Sabah)
LAHAD DATU, 19 Jan (MalaysiaAktif) – Persatuan Anak-Anak Istimewa Lahad Datu (PRAISE) berjaya merealisasikan impian mereka untuk memiliki pusat terapi dan latihan sendiri dengan pembinaan sebuah Pusat Sehenti (OSC) hasil sumbangan Kerajaan Negeri Sabah.
Sumbangan ini merangkumi lot tanah milik kerajaan dan peruntukan khas yang diumumkan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Segama, Datuk Mizma Appehdullah.
Menurutnya, pusat Sehenti PRAISE di Lahad Datu menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam memberikan perhatian dan sokongan berterusan kepada anak-anak istimewa.

Mizma bersama Firuz dan Firdaus beramah mesra bersama beberapa orang anak istimewa yang hadir pada majlis perasmian bangunan operasi PRAISE Lahad Datu kemarin.
“Ini adalah bukti keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian sewajarnya, termasuk anak-anak istimewa. OSC ini akan menjadi simbol sokongan berterusan kita terhadap mereka.
“Bersama dengan pegawai daerah, saya akan terus memberikan sokongan, sama ada secara peribadi atau melalui bantuan kerajaan negeri, bagi memastikan PRAISE dapat beroperasi dengan baik dan memberi manfaat kepada anak-anak istimewa di Lahad Datu,” katanya ketika merasmikan Majlis Kesyukuran dan Perasmian Pusat Operasi PRAISE di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen@Benetty Mohd Dzul, berkata persatuan tersebut sebelum ini diberikan kebenaran untuk beroperasi secara percuma di sebuah rumah kerajaan lama.
“Bangunan tersebut akan terus digunakan sebagai pusat pentadbiran PRAISE, manakala bangunan baru yang akan dibina akan menjadi OSC bagi pembangunan anak-anak istimewa.

Kerja pembinaan yang sudah dimulakan pada 17 Januari 2025 di lot yang disumbangkan kepada PRAISE.
“Saya berasa bangga terhadap usaha semua ahli persatuan yang berkerja keras untuk mendapatkan bangunan dan pelbagai sumbangan bagi memastikan operasi persatuan berjalan lancar.
“Pusat Sehenti Anak-Anak Istimewa ini adalah yang pertama di negeri Sabah di bawah kelolaan NGO. Kami sangat menghargai sumbangan kerajaan negeri dan masyarakat setempat kerana sokongan dan keprihatinan mereka, yang menjadi kekuatan untuk kami terus berusaha demi anak-anak istimewa ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi PRAISE Lahad Datu, Mohd Firdaus Muthaloo Abdullah, 58, percaya bangunan baharu ini dapat membantu keperluan mereka dan memberi impak positif terhadap perkembangan minda dan fizikal anak-anak istimewa.
“Pada masa ini, kita kekurangan pusat khas untuk menjalankan latihan terapi penting bagi anak-anak istimewa. Mereka hanya dapat menjalani fisioterapi sebulan sekali, sedangkan ia sangat penting untuk pembangunan minda dan fizikal mereka,” katanya.
Untuk makluman, Pusat Sehenti PRAISE ini akan dibina di atas tanah seluas 0.46 ekar dengan sumbangan peruntukan pembinaan sebanyak RM500,000 yang akan diberikan secara berperingkat.
-RJ-