
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Bertemakan ‘Wanita Berdaya, Inspirasi MADANI’, seramai 44 orang wanita seluruh Negeri Sembilan diraikan di Majlis Anugerah Tokoh Wanita MADANI Negeri Sembilan 2024.
Tema ‘Wanita Berdaya, Inspirasi MADANI’ diangkat bagi menunjukkan bahawa wanita tidak hanya kuat secara individu, tetapi juga memberikan sumbangan besar kepada masyarakat yang lebih luas.

Nor Zaidah Ab Rahman menerima Anugerah Tokoh Wanita OKU MADANI daripada Datuk Noor Zunita Begum.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim, berkata tema ini menekankan agar wanita tidak hanya berjaya di dalam kehidupan peribadi, malah juga dapat memberikan impak positif kepada masyarakat untuk membentuk generasi yang lebih proaktif dan berdaya saing.
“Anugerah yang disampaikan malam ini meliputi enam kategori, antaranya Tokoh Wanita MADANI, Tokoh Wanita Muda MADANI, Tokoh Wanita OKU MADANI, Tokoh Wanita JAKOA MADANI, Tokoh Wanita Inspirasi Keluarga MADANI dan Tokoh Khas Wanita MADANI.
“Anugerah ini disampaikan sebagai tanda terima kasih dan pembakar semangat agar memberikan motivasi kepada wanita di luar sana untuk terus berusaha dan menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara kita,” katanya.

Aziraidawati Adnan bersama Datuk Ismail Lasim.
Penerima Tokoh Wanita OKU MADANI Nor Zaidah Ab Rahman, 50, sangat berterima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana memberikan penghormatan untuk menjadi salah seorang penerima anugerah.
“Anugerah yang saya terima ini akan menjadi pemangkin kepada saya untuk lebih berdaya saing dan juga sebagai nilai tambah kepada saya dalam melaksanakan tugas sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS),” ujar seorang lagi penerima, Aziraidawati Adnan, 48, penerima Tokoh Wanita MADANI.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan dan Ahli-ahli Yang Berhormat turut hadir bagi meraikan penerima-penerima anugerah.
-ZS-