Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Keunikan Wau Kapal Tradisi Selangor

By 29 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto  Norshazila Ahmad (Selangor)/ Subaidillah Buang

KLANG, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Wau kapal merupakan identiti negeri Selangor yang tinggi nilainya dan merupakan seni budaya turun-temurun.

Bagi Subaidillah Awang, 44, seni pembuatan wau kapal bukan sekadar hobi, tetapi warisan keluarga yang diwarisi daripada arwah bapanya di Kampung Rantau Panjang.

Subaidillah sedang menggunakan teknik tebuk dan tampal untuk menghasilkan bunga tanjung sebagai hiasan di wau kapal tradisi.

Mula berkecimpung dalam pembuatan wau kapal tradisi pada tahun 2017 dan mendapat bimbingan daripada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

“Keunikan wau kapal tradisi adalah pada konsep rekabentuknya iaitu satu-satunya wau tradisi Melayu yang menggunakan unsur buatan manusia iaitu kapal dan mempunyai unsur flora seperti bunga tanjung dan bunga padi.

“Motif penggunaan bunga tanjung yang mempunyai sembilan kuntum, bermaksud mewakili sembilan daerah di Selangor manakala bahagian ekor menggunakan motif kapal, ombak laut, pelampung, tingkap kapal dan sauh.

“Teknik telepuk, tebuk dan tampal adalah warisan berzaman dari negeri Selangor dan teknik telepuk ini menggunakan pelbagai kertas warna yang diukir dengan bunga kecil kemudian ditebuk dan diulang beberapa lapis untuk dijadikan corak,” katanya.

Antara kenangan manis sepanjang menghasilkan wau kapal tradisi, Subaidillah bergambar bersama hadiah kemenangannya di di Kampung Rantau Panjang, Klang.

Menurutnya lagi, meskipun penghasilan wau kapal tradisional agak rumit, ia mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri berbanding wau kapal moden.

Mengakhiri perbualan bersama beliau ketika ditemubual di kediamannya di Kampung Rantau Panjang, di sini hari ini, beliau berharap generasi muda dapat mempelajari pembuatan wau kapal tradisi ini serta mengalu-alukan kehadiran anak muda untuk datang mempelajari ilmu pembuatan wau dengannya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda