
Laporan/foto: Syed Mohd Adib/Pejabat Daerah Segamat (Segamat)
SEGAMAT, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Daerah Segamat telah berjaya mengumpulkan ahli seramai 120 orang sempena Mesyuarat Agung PUSPANITA Cawangan Daerah Segamat kali ke 31 di Dewan Jubli Intan Segamat pagi semalam.

Ucapan perasmian oleh Pegawai Daerah Segamat merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Daerah Segamat
Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Segamat Engku Noorwidaine Engku Aman, berkata kita dapat lihat bukan sahaja kaum wanita yang hadir, malah kaum lelaki juga yang hadir pada hari ini sebenarnya adalah untuk memberikan sokongan dan dorongan bukan sahaja kepada isteri masing-masing tetapi juga kepada kakitangan jabatan wanita untuk lebih bergerak aktif dalam persatuan.
“Sepanjang tahun 2024, sebanyak 24 aktiviti telah dilaksanakan sama ada yang dianjurkan oleh PUSPANITA secara keseluruhan atau secara perkongsian dengan lain-lain persatuan dan jabatan-jabatan kerajaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan.

Antara sebahagian tetamu jemputan yang hadir
“Untuk tahun 2025, PUSPANITA Cawangan Segamat akan merancang dan menyusun pelbagai aktiviti dan program termasuk yang berbentuk kerohanian, keusahawanan, kesihatan, sukan dan lain-lain demi manfaat semua pihak,” ujarnya.
Pegawai Daerah Segamat merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi, berkata bukan mudah untuk seseorang melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli yang aktif disamping melaksanakan tanggungjawab rasmi di pejabat mahupun suri rumah.
“Program untuk isteri-isteri seperti ceramah, seminar dan lawatan sambil belajar boleh dijalankan dari masa ke semasa untuk memberi kefahaman kepada golongan isteri tentang peranan dan fungsi jentera kerajaan dari segi pentadbiran awam,” katanya ketika merasmikan program.
“Puan-puan hendaklah sentiasa mengamalkan budaya kerja secara berpasukan di semua peringkat dan mengorak langkah lebih proaktif sebagai badan amal, kebajikan dan sosial.
“Diharapkan PUSPANITA dapat menjalankan program yang memberi impak positif dan memenuhi objektif utama penubuhan PUSPANITA iaitu untuk merapatkan perhubungan muhibbah dan menyatupadukan isteri-isteri dan anggota wanita Perkhidmatan Awam di semua peringkat,” katanya.
Turut hadir Pentadbir Tanah Segamat Mohamad Yazid Baharudin, Setiausaha Majlis Perbandaran Segamat Mohd Fazle Yusof, Timbalan PUSPANITA Cawangan Daerah Segamat Noorzufina Zulkifli.
-AA-