
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
PASIR MAS, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapa bertanggungjawab untuk mencorakkannya.
“Jika terdapat sebarang masalah seperti isu pembesaran, penyusuan atau masalah kesihatan, ibu bapa boleh merujuk ke klinik terdekat kerana Jabatan Kesihatan menyediakan perkhidmatan yang diperlukan,” kata Pakar Perubatan Keluarga dari Klinik Kesihatan Kangkong Dr. Rodziah Ali semasa Program Bayi Sihat, Keluarga Bahagia di Dewan Utama Pertubuhan Peladang Kawasan (LPP) Kangkong, di sini pagi semalam.

Bayi Sihat Muhamad Ean Malik (tengah) mendapat perhatian ramai.
Program ini diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya membawa bayi ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan mengikut jadual temu janji yang ditetapkan.
Dr. Rodziah turut menegaskan bahawa pendidikan anak harus bermula dengan penuh kasih sayang daripada kedua ibu bapa.
Selaku penganjur program, Ketua Jururawat Pelatih Suhaily Hassan, 46, berkata objektif utama program ini adalah untuk memberi pengetahuan tentang kepentingan menjaga kesihatan bayi.
“Bayi akan dinilai melalui rekod yang dibawa untuk menentukan kesihatan mereka dengan teliti.
“Pada mulanya, ramai yang menyertai pertandingan ini tetapi hanya 10 bayi yang terpilih ke peringkat akhir,” katanya, yang juga merupakan ketua juri pertandingan bayi sihat.

Sesi bergambar selepas tamat program.
Sementara itu, bapa kepada pemenang Pertandingan Bayi Sihat, Mohd Zahik Mohd Yusuf, 28, tidak menyangka anaknya, Muhamad Ean Malik yang berusia setahun, berjaya menjuarai pertandingan tersebut.
Program Bayi Sihat, Keluarga Bahagia adalah anjuran Klinik Kesihatan Kangkong, Pelatih Kursus Pengkhususan Kejururawatan Kesihatan Awam dan Persatuan Anak Kangkong Rakan Akrab (PAKRA).
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok Zuraidin Abdullah.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Peladang (LPP) Kangkong Datuk Aimi Jusoh.
-ZS-