
Laporan/foto: Azs Saffie/Zalizan (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Sesi penyerahan rompi Komuniti MADANI kepada barisan kepimpinan Komuniti MADANI Parlimen Kuala Selangor menjadi simbolik kepada permulaan tahun baharu 2025 dan peranan penting kepimpinan Komuniti MADANI itu dalam menggerakkan aktiviti kemasyarakatan.

Mohammad Faisal menyarung rompi kepada Komuniti MADANI sebagai simbolik.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor Mohammad Faisal Ismail, berkata rompi berkenaan harus dipakai oleh Jawatankuasa Komuniti MADANI ketika menjalankan siri-siri ziarah kasih atau kesukarelaan supaya keberadaan Komuniti MADANI sentiasa dilihat dalam kalangan masyarakat.
“Vest (rompi) ini bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan komuniti dalam kalangan masyarakat, malah membawa identiti dan mengangkat imej Komuniti MADANI itu sendiri dalam memasarkan maklumat kenegaraan, perpaduan serta dasar kerajaan,” katanya pada Program Sembang Santai Komuniti MADANI Parlimen Kuala Selangor, di sini malam tadi.

Payung yang membawa imej Jabatan Penerangan dan Komuniti MADANI turut dibekalkan sebagai usaha memperkasa Komuniti MADANI dalam kalangan masyarakat.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Pekan Assam Jawa Mohd Adhar Mesari, ini merupakan satu usaha memperkasa komuniti dan mendorong komuniti yang berdaya saing.
Terdahulu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Selangor dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri telah melaksanakan Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI kepada semua barisan kepimpinan komuniti akhir tahun lalu.
-ZS-