
Laporan/foto: Amalina Shazwani Md Suhaimi
BUKIT MERTAJAM, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Penduduk-penduduk sekitar Kampung Tanah Liat berbesar hati menerima bantuan melalui program Karnival Santuni MADANI, yang diadakan bertempat di Perkarangan Madrasah Al-Mashoor, di sini hari ini.

Ucapan perasmian oleh Dr. Wan Azizah.
Seramai 260 murid menerima bantuan awal persekolahan, manakala 200 keluarga menerima sumbangan barangan makanan hasil usaha bersama Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Yayasan Food Bank.
Bagi penerima bantuan, Che Gon Saari, 76, sumbangan ini sangat bermakna buat keluarganya.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos belanja dapur, terutamanya untuk membeli barangan keperluan harian.
“Saya berharap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang kerana ia amat membantu lebih ramai keluarga yang memerlukan,” katanya.
Bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Pulau Pinang, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Kelurga Negara (LPPKN) turut menyampaikan baucar WCaRe kepada 200 wanita yang layak bagi menggalakkan lebih ramai wanita menjalani saringan awal dan cakna berkaitan kanser serviks.
Program yang mengangkat tema Wanita Sihat Keluarga Sejahtera ini telah dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri oleh Pengerusi Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Lim Siew Khim serta Ketua Pengarah LPPKN Haji Abdul Shukur Abdullah.
-ZS-