
Laporan/foto: Siti Noor Ain Mohd Zain (Timur Laut)
SERI DELIMA, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Masyarakat India masih lagi merayakan Pesta Ponggal yang merupakan perayaan kedua terbesar selepas sambutan Hari Deepavali.

Connie Tan meraikan Pesta Ponggal bersama masyarakat India
Sambutan Ponggal biasanya berlangsung selama empat hari bagi melengkapkan kepercayaan ritual dan amalan tradisi masyarakat India.
Tradisi utama perayaan ini ialah memasak Ponggal, hidangan manis yang menggunakan beras, susu dan serbuk jaggery.

Haiwan ternakan simbolik meraikan petani
Ketika memasak nasi Ponggal, beras akan dimasukkan ke dalam periuk tanah selepas susu mendidih dan apabila susu mengalir keluar itu menandakan limpahan kegembiraaan, kesejahteraan dan kemuliaan.
Supramaniam, 62, teruja dapat menyambut Ponggal kali ini bersama-sama Komuniti MADANI dan penduduk setempat yang berbilang kaum, di sini semalam.
“Sambutan ini menghargai usaha keras para petani dan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau serta alam semulajadi yang menjadi asas kepada keperluan utama manusia, iaitu makanan.
“Ponggal bukan sahaja meraikan hasil pertanian tetapi juga merapatkan hubungan dalam komuniti, menggambarkan nilai-nilai keharmonian dan saling menghormati,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh bersama-sama ADUN Seri Delima Connie Tan bagi meriahkan lagi suasana Pesta Ponggal kali ini.
-AA-