
Laporan/foto : AgKu Marzuki Ag Latip/Hamzah Sanudin (Tawau)
TAWAU, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Polis Tawau berjaya merampas dadah jenis syabu seberat lebih tiga kilogram dengan nilai sekitar RM180,000 dalam dua serbuan pada Ahad dan Isnin lalu.
Serbuan yang dibuat di dua lokasi berbeza itu berjaya menahan empat lelaki, termasuk dua warga asing berusia antara 28 hingga 41 tahun, yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, rampasan pertama dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Jalan Kuhara sekitar jam 5 petang pada Ahad.
“Dalam serbuan tersebut, dua lelaki ditahan selepas polis mendapati mereka berada dalam keadaan mencurigakan.

Semasa sidang media, Jasmin bersama rampasan syabu bernilai RM180,000 yang berjaya dirampas dalam dua serbuan.
“Pemeriksaan di rumah itu menemui dua paket plastik keemasan yang mengandungi bahan hablur jernih dipercayai syabu. Jumlah anggaran berat dadah yang dirampas adalah 2,039.64 gram,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Sementara itu, rampasan kedua tambahnya dilakukan di Kilometer 60 Semporna-Tawau pada Isnin kira-kira jam 12.10 tengah malam.
“Serbuan ini adalah hasil maklumat yang diperoleh daripada tangkapan pertama. Seorang suspek dipercayai membuang bungkusan yang mengandungi syabu seberat 1,018.41 gram ketika pasukan polis menghampiri lokasi.
“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut, termasuk seorang yang memiliki dua rekod jenayah dan ujian air kencing positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.
Untuk makluman kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis juga sedang giat mengesan rangkaian pengedaran dadah ini untuk membantu siasatan lanjut.
-RJ-