Laporan/foto: Norhayati Bt Shamsu Anuar/Norhazliza Binti Mod Din
GUA MUSANG, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 1,000 penduduk masyarakat Orang Asli di Kuala Betis mendapat manfaat daripada Program Jualan Rahmah, sebuah inisiatif kerajaan yang bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan komuniti tersebut.
Menurut Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Gua Musang Sulaiman Derahim, program ini menawarkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga lebih rendah daripada harga pasaran.
“Program ini diadakan khusus di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli untuk memastikan agar mereka tidak terpinggir,” katanya.
Mani Melazir, 29, salah seorang penduduk Kampung Kuala Betis, berkata program tersebut memberikan kemudahan kepada komuniti Orang Asli untuk mendapatkan barangan asas pada harga mampu milik.
“Saya dan masyarakat kampung memang menunggu program ini diadakan di tempat kami kerana dapat membeli barang dengan harga lebih murah dan tidak perlu keluar ke bandar,” katanya.
Program Jualan Rahmah dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam memastikan golongan Orang Asli turut merasai manfaat daripada pelbagai inisiatif kebajikan yang dilaksanakan.
-ZS-