Laporan/foto: Faizzad Kamal/Ahmad Firdaus (Batang Padang)
TAPAH, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mak Teh dan Pekan Kecil Tapah Road menerima peruntukan sebanyak RM100,000 menerusi inisiatif program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bagi membangunkan projek ternakan ikan keli menggunakan kolam simen.
Projek yang bermula sejak 2 November tahun lalu dirasmikan oleh Penghulu Mukim Batang Padang Mohd Razali Mohamad Hashim.
“Saya memuji usaha komuniti yang memanfaatkan inisiatif ini untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Darat Sungai Ranggas, di sini kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Saiful Haikal Ahmad Sapian, berkata peruntukan tersebut digunakan sepenuhnya untuk membina kolam dan fasiliti lengkap bagi memastikan kelancaran projek.
“Hari ini merupakan acara pelepasan benih ikan keli ke dalam kolam sebagai langkah permulaan untuk projek ini.
“Kami optimis projek ini bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan peserta malah memberi manfaat kepada komuniti Kampung Mak Teh,” ujarnya.
Selain itu, projek ini turut menyediakan latihan teknikal kepada peserta bagi memahami teknik pengurusan ternakan yang efisien termasuk penjagaan ikan, pemakanan dan kaedah pemasaran hasil sekali gus membuka peluang pekerjaan khususnya golongan belia di kampung itu.
Dengan kejayaan projek ini, JPKK merancang untuk memperluas skala penternakan dan menghasilkan produk nilai tambah seperti keli pekasam dan produk sejuk beku.
-ZS-