
Laporan/foto: Mohd Faisal Ishak/Syaiful Syarafuddin Ahmad Shafie
ROMPIN, 24 Jan (MalaysiaAktif) – Program Sentuhan Rakyat Makmur 2025 dilihat dapat memperkukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat serta menyediakan platform bagi menyelesaikan isu komuniti secara terus.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Sri Zulkifli Yaacob dalam ucapan perasmiannya menekankan pentingnya kerjasama antara pihak kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk tempatan dalam merealisasikan agenda pembangunan yang mampan.

Khemah Jualan Rahmah yang mendapat sambutan dari pengunjung untuk mendapatkan barangan harian dengan harga murah.
“Diharapkan program seumpama ini terus menjadi platform yang efektif dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat sekali gus memperkukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat,” ujarnya.
Program ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan antar aktiviti yang menjadi tumpuan adalah pembukaan 15 kaunter perkhidmatan kerajaan seperti Pejabat Kesihatan Daerah Rompin, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pejabat Pertanian Daerah, Polis Diraja Malaysia, pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Rompin, pameran keusahawanan dan usahawan tani untuk peniaga kecil dan sederhana membantu memasarkan produk, Jualan Rahmah dan Forum Komuniti.
Program Sentuhan Rakyat Makmur 2025 Peringkat Daerah Rompin ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk sekitar.

Buah nangka madu yang menjadi daya tarikan pengunjung untuk mengunjungi kaunter usahawan tani.
Salah seorang pengunjung, Rosli Ismail, 56, memuji langkah Kerajaan Negeri Pahang mengadakan program seperti ini.
“Program seperti ini bukan sahaja mendekatkan rakyat dengan kerajaan, tetapi juga memberikan kami peluang untuk menyuarakan pendapat secara terus,” ujarnya, di sini semalam.
-ZS-