Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Sokongan Moral Suami Usaha Meningkatkan Kesedaran Kesihatan Pasangan

By 29 Januari 2025Februari 13th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Kasmini Hasbi / Lydia Humphery Tungkat (Sarawak)

KUCHING, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan wanita, khususnya berkaitan kanser reproduktif, peranan lelaki sebagai pasangan hidup dalam keluarga merupakan faktor penting yang perlu diberi perhatian.

Harold, 37 tahun, yang merupakan Pembantu Penerangan Kanan di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak, berkata ramai wanita sering kali teragak-agak untuk menjalani pemeriksaan kesihatan atau menerima keputusan yang mungkin diperoleh.

Beliau juga menjelaskan bahawa ketakutan terhadap penyakit atau mitos dalam masyarakat sering kali menghalang mereka untuk mengambil tindakan yang perlu.

Harold berharap lebih ramai kaum lelaki menyertai kempen kesedaran mengenai kanser reproduktif untuk memberikan sokongan kepada pasangan masing-masing.

“Oleh itu, lelaki sebagai pasangan yang lebih dekat dan memahami permasalahan isteri diharap dapat memberikan sokongan penuh, mengajak mereka untuk tidak takut berjumpa doktor, serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala,” kata Harold ditemui semalam.

Menurutnya, pengesanan awal kanser, terutama kanser reproduktif, adalah kunci untuk mencegah penyakit ini daripada menjadi lebih serius dan dengan kesedaran yang lebih tinggi dan pemeriksaan yang dilakukan lebih awal, peluang untuk merawat penyakit dengan lebih baik akan meningkat.

“Wanita perlu lebih berani menghadapi keputusan perubatan dan tidak takut untuk menerima kenyataan kesihatan mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, kempen kesedaran mengenai kanser reproduktif selalunya melibatkan lebih ramai peserta wanita dan beliau berharap agar lebih banyak kaum lelaki turut serta dalam kempen tersebut untuk menyokong pasangan dan keluarga mereka.

“Ini penting kerana sokongan moral daripada lelaki dapat memberi dorongan kepada wanita untuk lebih peka terhadap kesihatan mereka dan lebih aktif dalam menjalani pemeriksaan perubatan,” jelas Harold.

 

-RJ-

Tinggalkan komen anda