Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Bantuan Awal Persekolahan Ringankan Beban Ibu Bapa di SK Kukusan Tawau

By 19 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip/Mohd Maqdi Bin Salleh (Tawau)

TAWAU, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 56 murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, Tawau menerima manfaat Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 setiap seorang bagi sesi persekolahan tahun 2025.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Jainal, berkata bantuan BAP yang diserahkan secara tunai diharapkan dapat membantu ibu bapa membeli kelengkapan persekolahan anak-anak yang telah memulakan sesi persekolahan baharu.

“Kerajaan, termasuk Kementerian Pendidikan, terus memberikan inisiatif ini secara konsisten setiap kali menjelang sesi persekolahan.

Antara penerima BAP tahun 1 yang disampaikan Rina  di Dewan Alamanda SK Kukusan, Tawau semalam.

“Sejak sebelum cuti lagi, bantuan ini telah mula diagihkan di sekolah-sekolah, dan hari ini kami melunaskan bantuan kepada 56 pelajar di SK Kukusan. Seterusnya, bantuan ini akan diserahkan oleh pihak pengurusan sekolah,” katanya ketika merasmikan Program Sekolahku Prihatin, Sua Temu Ibu Bapa Tahun 6 dan Agihan BAP Tahun 1 di Dewan Alamanda SK Kukusan di sini semalam.

Beliau turut mendengar isu setempat seperti keselamatan jalan raya dan menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah.

“Saya menyeru agar ibu bapa turut aktif dalam program yang dijalankan oleh pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Kerjasama antara ibu bapa, pelajar, dan guru sangat penting untuk meningkatkan produktiviti serta pencapaian anak-anak di sekolah,” ujarnya.

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina turut mengumumkan pemberian sebanyak RM5,000 kepada PIBG SK Kukusan bagi membantu membiayai program-program yang telah disusun sepanjang tahun 2025.

Ibu bapa yang hadir di program Sekolahku Prihatin, Sua Temu Ibu Bapa Tahun 6 dan Agihan BAP Tahun 1 di sini semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan Sara Hidup dari kerajaan negeri telah dikreditkan ke akaun penerima masing-masing dan ramai yang telah menerimanya.

“Ini juga membantu ibu bapa yang memerlukan dana lebih untuk persediaan persekolahan anak-anak mereka,” katanya.

Rina mengakui bahawa kos pendidikan semakin meningkat, dengan buku teks dan peralatan sekolah yang semakin mahal. Oleh itu, bantuan daripada kerajaan persekutuan dan negeri diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang turut terkesan oleh kenaikan kos bahan mentah dan keperluan lain.

“Harapan saya adalah agar inisiatif ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk meringankan beban ibu bapa di seluruh negeri,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda