
Laporan/foto: Hirniezah Tabin (Beaufort)
BEAUFORT, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Penganjuran Bazar Masjid Cahaya Hikmah Kampung Brunei diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin ekonomi penduduk setempat.

Ariffin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang peniaga bazar kemarin.
Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, memuji usaha pihak masjid dalam menyediakan tapak bazar yang bukan sahaja memberi manfaat kepada peniaga kecil, tetapi juga dapat mengimarahkan ekonomi masjid itu sendiri.
“Dengan wujudnya bazar ini, ia bukan sahaja dapat memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil dari kampung berdekatan, tetapi turut memberikan mereka ruang untuk meningkatkan pendapatan secara berterusan. Ini adalah satu inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada ekonomi setempat.”
“Selain itu, bazar ini juga diharap dapat menjadi contoh yang baik kepada masjid-masjid lain untuk menjalankan aktiviti serupa yang dapat memberikan faedah kepada komuniti mereka, seterusnya mengimarahkan masjid dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat,”katanya ketika merasmikan Majlis Khatam Al-Quran dan Perasmian Bazar Masjid Cahaya Hikmah Kampung Brunei, Membakut di sini kemarin.
Bazar yang terletak di perkarangan Masjid Cahaya Hikmah Kampung Brunei ini diadakan untuk memberi peluang kepada lebih 20 peniaga dari kampung sekitar untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Pada majlis itu, Mohd Ariffin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM8,000 untuk tujuan pembinaan laluan pejalan kaki di sekitar masjid bagi memudahkan jemaah dan pengunjung yang hadir.

Sumbangan Khas Pengimarahan dan bil utiliti masjid yang disampaikan oleh Setiausaha (MUIS) kepada Pengerusi Masjid Kg. Brunei Membakut di sini kemarin.
Majlis tersebut juga diserikan dengan acara Khatam Al-Quran yang melibatkan lebih 20 peserta daripada kalangan penduduk Kampung Brunei yang juga merupakan simbolik kepada pengukuhan aspek rohani masyarakat setempat.
Sumbangan Khas Pengimarahan dan Bil Utiliti Masjid kepada Masjid Cahaya Hikmah turut diserahkan oleh Setiausaha Masjid Ugama Islam Sabah (MUIS), Ramlan Awang Ali yang diterima oleh Pengerusi Masjid, Abdul Rahim Said.
-RJ-