
Laporan/foto : Safik Effendi Kassim (Sarawak)
KUCHING, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Mencipta kandungan video untuk tontonan umum di laman web ataupun di media sosial merupakan tugas yang mencabar dan tidak boleh dianggap mudah apatah lagi mencipta kandungan video untuk laman rasmi media sosial jabatan kerajaan.
Sebagai pencipta kandungan ataupun lebih dikenali sebagai ‘content creator’ menuntut komitmen, kemahiran serta kebijaksanaan dalam mencipta kandungan video.

Farid (kiri) semasa tugasan penggambaran video bersama Nazree (kanan).
Bagi Mohamad Farid Izwan, 28, yang bertugas di belakang tabir sebagai pencipta kandungan video di Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak berkata, mengimbas kembali pengalaman kali pertama semasa mula menceburi bidang ini adalah satu perjalanan yang penuh cabaran dan pembelajaran.
“Sepanjang empat tahun saya bergiat dalam bidang ini, saya mampu memahami psikologi audiens serta kuasa komunikasi digital dalam membentuk persepsi awam dan setiap kandungan yang diciptakan haruslah mempunyai mesej agar apa yang hendak sampaikan kepada masyarakat dapat difahami serta diterima baik oleh mereka.
“Banyak perancangan yang perlu dibuat seperti penceritaan, skrip dan dari segi suntingan pula, saya akan pastikan isi kandungan disususn secara teratur supaya penyampaian lebih jelas dan tidak berulang-ulang,” ujarnya.
Dalam menyediakan video kandungan tersebut, beliau turut dibantu oleh beberapa penyunting video yang berkebolehan untuk merealisasikan hasil mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Hasif membantu melakukan kerja penyuntingan video.
“Saya sering menampilkan kandungan berkaitan inisiatif kerajaan seperti bantuan rakyat atau pembangunan ekonomi dan saya menggunakan pelbagai format seperti infografik, video pendek serta siaran langsung untuk memastikan rakyat mudah memahami maklumat yang disampaikan.
“Selain itu, untuk terus kekal relevan dalam mencipta kandungan bagi jabatan kerajaan, elemen budaya popular seperti lagu trending, gaya penyampaian yang sedang viral mampu untuk menarik perhatian serta elakkan mencipta kandungan yang terlalu panjang dan membosankan,” tambahnya lagi.
Kandungan video boleh diakses menerusi laman media sosial rasmi JAPEN Sarawak di Facebook, Instagram, Youtube dan Tiktok.
-RJ-