
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Dungun)
DUNGUN, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Budaya gotong-royong yang menjadi amalan turun-temurun masyarakat Malaysia terbukti masih segar apabila lebih 100 penduduk Kampung Darat Kubor, Paka, berkumpul dalam Program Segulai Sejalai Sekawah Sekampung, di sini kelmarin.

Antara wakil ketua-ketua jabatan yang hadir memeriahkan program
Program anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Nyior ini bukan sahaja bertujuan mempereratkan hubungan silaturrahim tetapi juga menonjolkan semangat kerjasama tanpa mengira latar belakang politik.
Pengerusi JPKKP Mustaffar Saleh, berkata kehadiran lebih 100 orang peserta membuktikan bahawa gotong-royong dan saling bantu-membantu adalah elemen penting dalam kehidupan masyarakat di kampung tersebut.

Sikap kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain telah lama menjadi amalan di Kampung Nyior, Paka, memperkukuh ikatan komuniti setempat
“Prinsip ‘Segulai Sejalai’ harus dipegang untuk mencapai persefahaman yang kukuh dalam kalangan masyarakat kita,” katanya.
Ahli Dewan Negara Senator Hasbie Muda yang merasmikan program tersebut, turut memuji semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam menjayakan program ini secara harmoni.
Beliau turut meluahkan kekagumannya terhadap hidangan tradisional laksa kebuk yang disediakan secara gotong-royong oleh penduduk kampung.
“Kaedah tradisional ini dari penyediaan bahan mentah hingga ke masakan akhir memberikan peluang untuk masyarakat terutamanya generasi muda memahami cara laksa kebuk dihasilkan.
“Ini adalah satu cara yang bagus untuk memastikan makanan tradisi yang semakin dilupakan ini terus hidup,” ujarnya.
Cuaca yang baik sepanjang program turut menambahkan keceriaan suasana menjadikan program Segulai Sejalai Sekawah Sekampung ini berjalan dengan lancar. Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Dungun Aneta Ahmad.
Program seperti ini menjadi platform penting dalam memupuk semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan masyarakat serta memastikan tradisi kulinari tempatan tidak terhakis ditelan zaman.
-AA-