Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Harga Lantai Padi: Pesawah Lega, Pendapatan Meningkat

By 16 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Lina Shukri (Perak)

BOTA, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Penyelarasan harga lantai belian padi yang diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mampu meningkatkan pendapatan pesawah sekali gus memastikan industri padi negara kekal stabil.

Zumydy meluahkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan terhadap petani.

Menurut Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan Bota/Lambor Razikin Marzuki, langkah ini memberi kelegaan kepada pesawah dalam mengimbangi kos pengeluaran yang semakin meningkat.

“Keseluruhan keluasan penanaman padi di sini ialah 1,936 hektar melibatkan 704 orang pesawah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik yang mampu memberi manfaat kepada pesawah-pesawah di Bota amnya dan juga seluruh Malaysia terutama dalam menampung kos operasi seperti baja dan racun,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Pengurus Koperasi Peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Seberang Perak Bhd Mior Shahrin Mior Mohamad Yusop, berkata kenaikan ini juga memberi impak positif terhadap pendapatan pesawah.

“Kenaikan RM200 per tan metrik ini akan memberi kesan secara langsung kepada pendapatan pesawah sebagai contoh jika seorang mendapat 10 tan metrik, dia peroleh pendapatan tambahan RM2,000 semusim.

“Langkah ini pastinya memberi manfaat besar kepada para pesawah dalam memastikan kesejahteraan hidup terjamin,” katanya.

Mior Shahrin ketika ditemui di Titi Gantong, kelmarin.

Sementara itu, pesawah Zumydy Mahidin, 50, menyambut baik usaha kerajaan bela nasib pesawah.

“Alhamdulillah dengan kenaikan harga padi dan subsidi yang diberikan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan pesawah.

“Saya berharap agar harga lantai ini dapat dinaikkan seiring dengan kos pengeluaran semasa supaya pesawah dapat terus berdaya saing dalam menjaga kelangsungan industri padi negara,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda