
Laporan/foto: Mohammad Rasuli/Mohd Alihanafiah (Bagan Datuk)
HUTAN MELINTANG, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Penganjuran Program Gotong-royong One Hour Malaysia Clean Up Wabak Denggi di Kampung Bernam Batu 11 di sini kelmarin, bermatlamat menjadikan kawasan tersebut bebas dari wabak denggi.

Wasanthee berharap melalui usaha ini akan berjaya menjadikan Hutan Melintang sebagai kawasan bebas Wabak Denggi
Ahli Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy, berkata matlamat ini hanya akan berhasil jika mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira latar belakang.

Antara peserta yang bersemangat untuk memulakan aktiviti gotong royong
“Jadi, hari ini agensi kerajaan bersama pelajar dari Kolej Komuniti dan Pusat Giatmara Bagan Datuk, turun padang untuk bersama-sama membantu penduduk Kampung Bernam membersihkan kawasan kampung ini.
“Aktiviti ini merupakan program gotong-royong yang kedua anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Hutan Melintang dan lanjutan daripada program yang dianjurkan sebelumnya di Taman Wawasan dan Taman Gemilang.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan usaha ini terutama Pejabat Kesihatan Daerah Bagan Datuk dan Majlis Perbandaran Teluk Intan,” ujarnya dalam ucapan perasmian.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Anita Bah Cud, berkata bagi melancarkan program gotong-royong pada hari tersebut, semua peserta yang hadir telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
“Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Bagan Datuk akan mengetuai kumpulan tersebut yang akan memfokuskan pembersihan kawasan yang berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk di Kampung Bernam dan kawasan persekitarannya,”ujarnya.
-AA-