
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi amaran kepada pihak atau individu tertentu agar tidak mengemukakan dokumen palsu semasa membuat permohonan kewarganegaraan.
Katanya, sekiranya tindakan tersebut dikesan permohonan berkenaan akan ditolak.
“Jangan guna dokumen palsu, kita tentu dapat kesan. Jangan guna sijil lahir palsu dan tiada dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara ketika umur 12 tahun, mesti ditolak,” tegasnya.

Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menurutnya, KDN perlu melakukan tiga perkara penting selepas Dewan Rakyat serta Dewan Negara meluluskan pindaan kewarganegaraan pada tahun lepas dan telah diwartakan.
Jelas Saifuddin, pertama adalah KDN perlu meminda 13 akta atau undang-undang yang berkaitan warganegara seperti Akta Pendaftaran Kelahiran dan Akta Perkahwinan.
“Kedua, KDN telah melengkapkan SOP untuk permohonan kewarganegaraan khususnya Perkara 15 dan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
“Ketiga adalah membuat prosedur operasi standard (SOP) supaya permohonan kewarganegaraan akan menjadi lebih jelas,” ujarnya.
Katanya, SOP telah siap sementara pindaan akta dalam proses yang akan dibawa ke parlimen tahun ini juga.
“Apabila semua ini selesai bermaksud perkara berkenaan permohonan warganegara di negara ini akan lebih kemas, tersusun dan adil.
“Tempoh menunggu yang lama, tujuh atau 10 tahun itu akan berakhir kerana SOP yang akan dibuat ini bermaksud permohonan baharu sekarang selepas pindaan ini akan kita buat keputusan dalam masa setahun,” katanya.
Tambah beliau, sehingga 31 Disember 2024 sebanyak 33,000 permohonan lama telah dibuat keputusan.
“Bakinya sebanyak 12,000 lagi dan yakin tahun ini akan diputuskan manakala setiap bulan kita menerima purata hampir 1,000 permohonan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas hadir Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Selayang dan DUN Sungai Tua di Dewan Low Tien Sang, SJKC Selayang Baru di sini semalam.