
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Kadar bayaran zakat fitrah di Pahang kekal RM7.00 selepas diperkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Ahmad Hairi Hussain, berkata walaubagaimanapun, kadar bayaran diwajibkan bagi yang menggunakan beras wangi atau yang seumpama dan setara adalah RM14.00, manakala yang menggunakan beras basmati atau seumpama dan setara adalah sebanyak RM21.00.

Bersama pengurusan Bank Muamalat melancarkan Kod QR e-zakat.
“Bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah, seramai 917 orang amil zakat fitrah telah ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan zakat fitrah di dalam negeri Pahang.
“Justeru, umat Islam di negeri ini dinasihatkan membayar zakat hanya kepada amil yang telah ditauliahkan,” katanya sewaktu berucap di sidang media Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 2025, di sini semalam.
Katanya lagi, MUIP juga menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara atas talian (Internet) melalui capaian ezakat.muip.gov.my dan melalui Kod QR Bank Muamalat.

Para penerima wang zakat untuk diagihkan mengikut saluran yang ditetapkan.
Ahmad Hairi turut memaklumkan sepanjang Ramadan, MUIP akan mengagihkan bantuan berjumlah RM 21,690,300 juta membabitkan 35,400 penerima seluruh Pahang.
Bantuan-bantuan ini termasuklah bantuan kepada asnaf dan fakir miskin, pengimarahan Ihya’ Ramadan, bantuan kepada masjid dan surau serta bantuan Hari Raya Aidilfitri.
-ZS-