Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kempen Adopsi Anjing DBKK Bantu Atasi Masalah Anjing Terbiar di Kota Kinabalu

By 27 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Berry Taimin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 27 Feb (MalaysiaAktif) –  Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melancarkan kempen adopsi anjing sebagai inisiatif untuk menggalakkan masyarakat mengadopsi anjing yang tidak terurus dan terbiar di sekitar bandaraya tersebut.

Kempen ini bertujuan memberi peluang kedua kepada anjing terbiar yang ditangkap untuk mendapatkan pembelaan, kasih sayang, dan dipelihara oleh pemilik baharu sekali gus membantu mengurangkan gangguan kepada orang awam.

Arinah ketika ditemu bual mengajak masyarakat bersama-sama menjayakan Program Adopsi Anjing DBKK dan bertanggungjawab dalam menjaga haiwan peliharaan yang terbiar.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan DBKK, Arinah Atim berkata, pihaknya tidak bertindak bersendirian malah mendapat kerjasama erat daripada organisasi pelindung haiwan di samping memberikan perkhidmatan kesihatan khusus kepada anjing yang ditangkap.

“Melalui kempen ini, DBKK berusaha meningkatkan kesedaran awam mengenai tanggungjawab pemilik haiwan peliharaan, termasuk penyediaan tempat tinggal yang selamat serta penjagaan kebajikan haiwan tersebut di mana anjing-anjing yang terlibat dalam kempen ini akan disahkan sihat, diberi vaksin dan dimandulkan sebelum dibuka untuk pengambilan.

“Oleh itu, pihak DBKK memohon kerjasama semua pihak agar dapat membantu menjayakan Program Adopsi ini dan kepada orang yang berminat mengambil anjing berkenaan bagi tujuan peliharaan boleh menghubungi pihak DBKK untuk maklumat lanjut,” ujarnya semasa rakaman Program FYI@JAPEN di Paun, DBKK, di sini kemarin.

Tambahnya, peningkatan populasi anjing di Paun atau kawasan penempatan haiwan DBKK menjadi salah satu cabaran yang perlu ditangani oleh DBKK bagi memenuhi komitmen menjayakan Program Adopsi berkenaan.

Peduli dan prihatin-Seorang kakitangan DBKK memberi makanan kepada anjing-anjing terbiar yang ditangkap.

“Populasi anjing terbiar yang semakin meningkat menyukarkan usaha adopsi, terutamanya anjing yang lebih tua yang kurang berpotensi untuk diterima berbanding anak anjing dan kami menggalakkan masyarakat sekitar Kota Kinabalu mengambil bahagian dalam Program Adopsi ini, melalui antaranya Program Animal Awareness Roadshow.

“Antara program lain yang diadakan ialah menjalankan pemeriksaan pemeliharaan anjing dari rumah ke rumah bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, mengadakan aktiviti pendidikan dan kesedaran awam mengenai pemilikan haiwan peliharaan,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda